Saturday, April 10, 2010

SETIIS TINTA,SELAUT MUTIARA

PENGETUA SMK Kampar

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera.

Saya ucapkan ribuan terima kasih atas peluang yang diberikan ini. Terima kasih juga kepada Unit ICT & Unit Data dan Maklumat yang telah berusaha secara bersungguh-sungguh untuk membangunkan laman blog ini. Tanpa kesungguhan, minat dan sifat amanah, pasti menghadapi pelbagai masalah. Namun, kita mampu melahirkan sesuatu yang bernilai dan berkesan.

Sekolah sebagai sebuah institusi keilmuan di peringkat asas, perlu menjadikan ilmu sebagai warisan budaya yang kukuh dan sentiasa maju ke hadapan untuk menyambut segata cabaran yang mendatang. Apatah lagi, era masa kini adalah era ICT. Teknologi maklumat memainkan peranan yang amat meluas dalam kehidupan manusia sejagat. Ilmu dalam konteks perkembangan dan kemajuan akan terpinggir jika budaya ICT yang dicanangkan oleh kerajaan tidak diambil berat oleh masyarakat umum khususnya masyarakat pendidik dan para pelajar. Seiring dengan dasar kerajaan yang mahu menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa keilmuan dan sebagai satu cara untuk mempercepatkan penguasaan teknologi maklumat, haruslah disokong dan dinilai secara positif atas dasar keilmuan.

Kepada para pelajar pula, yakinlah bahawa sekolah adalah satu-satunya tempat untuk kita membuat perhitungan terhadap masa depan. Slogan "Kejayaan seseorang bermula dari rumah dan sekolah" perlulah dihayati. Patuh terhadap disiplin, hormat pada guru dan taat kepada ibu bapa merupakan resepi yang penting untuk kita bertindak membentuk masa depan. Belajarlah dengan rajin, tekun dan amanah. Sesungguhnya, tiada kejayaan tanpa pengorbanan. Perjuangan itu pahit, tetapi hasilnya adalah buah yang manis bagi mereka yang menghadapi erti perjuangan.

Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan syabas kepada Unit ICT & Unit Data dan Maklumat yang telah mengorbankan waktu dan tenaga untuk merekacipta dan mengemaskini laman blog ini. Dan kepada semua pelajar, anda adalah aset negara dan penerus teraju kepimpinan negara. Jangan biarkan diri anda hanyut bak buih-buih di lautan, hargailah jasa guru dan ibu bapa.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmtullahi Wabarakatuh.